Jelajah Turki Day 1 @ Moscow-Istanbul
Trip jelajah turki saya bermula pada 24 jun 2014. sehari sebelum saya menaiki bas daripada Volgograd, Russia ke Moscow yang mengambil masa 16 jam. Setibanya di Moscow pada keesokan harinya iaitu hari jelajah turki saya bermula, saya sempat turun ke Red Square, Moscow. Sekadar ingin mengisi masa lapang yang ada sebelum penerbangan ke istanbul tiba. Namun, hanya 5 jam sahaja masa yang ada untuk berjalan-jalan sekitar Moscow. Itulah kali pertama kaki menjejak di luar lapangan terbang Moscow meskipun sudah 2 tahun di Russia. Tak sah katanya tak berjalan di moscow andai kata sesiapa ke Russia kerana di situlah ibu bagi negara terbesar di dunia itu. 5 jam berjalan di Moscow sementara menunggu penerbangan tiba di Moscow tidak saya risau kerana Moscow mempunyai sistem keretapi Metro yang terbaik di dunia. Apatah lagi di Moscow saya tidak keseorangan di sana.




Saya tiba di istanbul, Turki pada hari sama pada jam 1600H. Perjalanan mengambil masa 2 jam 30 minit sahaja dengan Turkish Airlines. Apabila kaki menjejak masuk ke Turki, perasaan yang dirasa ibarat seorang pengembara pulang ke kampung. Rasa rindu yang sudah lama terpendam akhirnya terlerai jua. Apatah lagi di sana 98% penduduknya adalah saudara seaqidah. Sapaan salam dan senyuman-senyuman manis dilontarkan dimana-mana sahaja, timbul rasa kekok dalam diri. Terasa bagai kejutan budaya sebentar. Namun dalam fikiran, saya perlu pergi ke Cappadocia pada hari itu juga kerana mengikut perancangan di situlah trip jelajah Turki saya akan bermula. Masalah yang timbul adalah beg bagasi, di mana harus disimpan sepanjang berada diluar Istanbul untuk melancarkan pergerakan trip ini.
Hasil pencarian di internet, saya mendapati ada satu servis menyimpan bagasi terletak di kawasan Dataran Taksim. Namun perjalanan dari lapangan terbang Attartuk ke Dataran Taksim tersekat apabila saya sesat turun di sebuah stesen. Alhamdulillah kesesatan saya disedari sebuah pasangan suami isteri muda syrian-turkish yang kurang fasih berbahasa english namun difahami. Mereka kemudian membantu saya menahan bas yang menuju ke sana. Di Dataran Taksim pula, saya mencari kedai tersebut melalui pertanyaan-pertanyaan kepada orang Turki sendiri. Saya menunjukkan alamat dan peta tapi semua memberikan arah yang salah. 2 jam saya mundar mandir di Dataran Taksim mengheret bagasi seberat 30kg. Serik bertanya, saya cuba baca peta. Dulu pernah belajar teknik baca peta di MTD. Alhamdulillah masih ingat dan jumpa tempat tersebut.


Selesai menyimpan bagasi di sana yang dicaj 11 Lira sehari, saya mencari sesuatu untuk dimakan. Saya mencuba burger yang beharga 2.5 Lira, malah mendapat minuman percuma sebagai tanda selamat datang daripada mereka. Tidak terhenti di situ sahaja, perancangan saya terbantut andai kata saya tidak pergi ke Cappadocia pada hari tersebut. Berjalan sejauh 10minit daripada dataran Taksim, di situ saya membeli tiket bas malam. Saya memilih bas syarikat Metro kerana ianya dicadang ramai di internet kerana khidmatnya yang baik. Tiketnya hanya 50 Lira dengan perjalanan sejauh 1200km 12 jam perjalanan termasuk khidmat makanan ringan, wifi dan televisyen tempat duduk. Malah tiket yang saya dapat itu merupakan tiket terakhir pada malam tersebut. Tamat hari pertama, walaupun agak letih tapi tetap bersemangat untuk meneruskan perjalanan ini.
No comments:
Post a Comment