Tuesday, 19 August 2014

Jejak Turki part 1; Cappadocia | hari 1 dan 2

Jaulah menjejak Turki saya bermula di Cappadocia (sebutan: kapadokia). Pada asalnya saya taklah tahu pun apa tu Cappadocia. Melalui pembacaan di internet pun Cappadocia hanyalah tempat pembentukan batu-batu berbentuk aneh dan pernah didiami masyarakat purba. Namun setiap orang yang pernah ke Turki kebanyakannya paling menyarankan Cappadocia berbanding yang lain.

Tibanya saya di Turki pada 24 Jun 2014, juga hari yang sama saya bertolak ke Cappadocia. Bak kata orang nak dapatkan sesuatu yang beharga jalannya tak mudah. Jaulah saya ke Turki langsung tak menempah mana-mana hotel mahupun tiket bas kerana ketidaksempatan waktu, kecuali merancang tempat yang ingin dituju semata-mata. Dengan kepenatan yang terbawa daripada keserabutan Universiti dan Moscow, di Turki sendiri saya mengalami satu masalah.

Setibanya saya di Istanbul hari tersebut, saya membawa beg luggage seberat 30kg. Perkara pertama yang harus diselesaikan adalah di mana harus saya meletakkan beg tersebut kerana membawa beg 30kg berjalan jauh bukan pilihan yang bijak. Hasil pencarian di internet saya terjumpa satu perkhidmatan menyimpan beg di Istanbul yang terletak berdekatan dataran Taksim. Malah untuk ke Taksim sendiri saya sudah sesat, bila sudah tiba di Dataran Taksim, 2 jam saya mundar mandir mencari tempat untuk menyimpan beg luggage tersebut.

Namun bukan untuk menyalahkan sesiapa, sesatnya saya di sana semuanya berpunca daripadanya orang Turki itu sendiri! Atas dasar orang Turki lebih mengenali Turki itu sendiri lebih, saya memilih mempercayai mereka berbanding peta di tangan. Tapi kepercayaan itu adalah punca kesesatan saya. Sampai terdetik dalam hati saya ketika itu, peringatan buat diri, kalau tak tahu cakap je tak tahu, sebab kalau kita menyebarkan sesuatu yang salah, orang lain yang akan susah. Sisi baiknya ia merupakan taaruf orang Turki buat saya, membuktikan ura-ura yang orang Turki sangat ramah dan suka membantu.

Namun alhamdulillah semuanya masih tetap yang dirancang, saya sempat meletakkan beg dan membeli tiket bas yang terakhir, betul-betul 10 min sebelum bertolak ke Cappadocia. Untuk ke Cappadocia, saya menggunakan perkhidmatan overnight bus. Perjalanan mengambil masa 12 jam menggunakan bas Metro. Yang menariknya semua bas jarak jauh di Turki mempunyai makanan, televisyen dan wifi. Malah Turki menpunyai sistem 'on coach travel' antara yang terbaik di dunia. Malah di sana, mereka mempunyai mini bus shuttle yang akan menghantar kita betul-betul di hadapan pintu hotel.

Tapi yang menjadi masalah, saya belum menempah mana-mana hotel/hostel. Mujur saya mempunyai sehelai hard copy senarai hostel murah di Cappadocia jadi saya memilih yang paling hampir dengan center. Saya menetap di Cappadocia selama dua hari satu malam di dorm Kose Pension; sebuah villa yang dimiliki keluarga Afghanistan. Layanan dan suasana di sana cukup untuk memberikan ketenangan setelah 2 hari penat bergesa-gesa dari Volgograd ke sini. Di Cappadocia juga, menyedari betapa luasnya tempat ini dan sejarah yang terkandung, saya menyertai sebuah tour.

Cappadocia merupakan sebuah tempat peninggalan zaman purba, yang terletak di daerah Nevsehir, Turki. Asalnya ia didiami oleh bangsa Hittite, namun mereka tersepit antara empayar-empayar besar yang bermusuhan; pertama antara Empayar Greek dan Parsi, kemudian Byzantine, Rom dan lain-lain. Keadaan ini akhirnya memaksa mereka untuk membina terowong-terowong bawah tanah sedalam 80meter sebagai tempat persembunyian. Selain itu juga, Cappadocia juga menjadi tempat peninggalan masyarakat awal era Kristian yang lari ke sini lalu membina gereja-gereja serta artifak-artifak ritual agama Kristian. Kini Cappadocia hanya menjadi museum peninggalan orang dahulu dan dilindungi oleh UNESCO sebagai salah satu warisan dunia.

Selain kaya dengan sejarah, kejadian alam semula jadi di Cappadocia juga sangat menggagumkan. Lihatlah bentuk-bentuk batu, bukit dan gua di sini, semuanya adalah hasil kekuasan alam ciptaan Allah. Semuanya terjadi dengan sendiri! MashaAllah. Malah ibarat sebuah keajaiban di sana bagaimana sebuah tempat yang hanya berbatu-batu tapi mampu didiami sebuah masyarakat besar.

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). Al-Mulk; 15

No comments:

Post a Comment