Thursday, 12 February 2015

Kematian yang menghidupkan | Ahmad Ammar Ahmad Azam

Bismillah hirRahman nirRahim.

Dulu saya pernah terfikir, bila makin ramai 'murobbi-murobbi' umat sudah lanjut usia, mendekati hujung waktu, malah yang telah kembali ke rahmatullah. Saya percaya agama Islam akan tetap dipelihara oleh Allah walau teruk macam mana sekalipun dihina kesuciannya malah ditindas penganutnya sekalipun. Pasti saat pimpinan generasi beralih ke generasi Y, pasti Allah lahirkan golongan-golongan hebat yang baru untuk mempertahankan izzah Islam. Kalau bukan kita Allah pasti akan lahirkan orang lain. Saya tahu, Islam tak memerlukan kita untuk menyucikannya tapi kitalah yang memerlukan Islam untuk memakmurkan bumi ini. Takkan hapus golongan-golongan yang membawa risalah ini.

حَدَّثَنَا مَنْصُورُ بْنُ أَبِي مُزَاحِمٍ حَدَّثَنَا يَحْيَى بْنُ حَمْزَةَ عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ يَزِيدَ بْنِ جَابِرٍ أَنَّ عُمَيْرَ بْنَ هَانِئٍ حَدَّثَهُ قَالَ سَمِعْتُ مُعَاوِيَةَ عَلَى الْمِنْبَرِ يَقُولُا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي قَائِمَةً بِأَمْرِ اللَّهِ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ أَوْ خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ ظَاهِرُونَ عَلَى النَّاسِ
Akan senantiasa ada sekelompok dari ummatku yg menegakkan perintah Allah, tak ada yg membahayakannya orang yg menghinakan atau menyelisihi mereka sampai datangnya hari Kiamat, & mereka akan selalu menang atas manusia. [HR. Muslim No.3548].

Tapi yang menjadi persoalannya, siapakah saya, sahabat-sahabat saya 10 tahun akan datang? Adakah tergolong dalam kelompok itu? Kerana kami adalah cermin masa hadapan ummah. Kami adalah generasi yang akan menerajui masyarakat satu masa nanti. Rosak generasi muda hari ini, rosaklah masa hadapan ummah. Itu bukan saya saja-saja meramal masa hadapan, tapi hipotesis Syeikh Yusuf Qaradhawi, seorang murobbi agung seluruh umat Islam di bumi hari ini. Memikirkan hala tuju Malaysia, siapakah yang akan mewarisi kelantangan bersuara mempertahankan islam dan mentarbiyyah orang muda bila perginya cendekiawan-cendekiawan seperti Dr Maza, Ust Hasrizal, Ust Azhar Idrus, dll?
"Ahmad Ammar Ahmad Azam"
Lantas, nama itu terlintas membuatkan saya rasa lebih tenang dan yakin akan generasi saya. Nama itu pada waktu itu, tak siapa yang kenal. Malah saya akui saya tak berapa kenal dia melainkan nama dan data maktab. Sepanjang perkenalan malah hidup, hanya sekali kami betul-betul berborak, itu pun tak sampai setengah jam. Pertemuan 4 mata di hadapan Musolla Maktab Tentera Diraja. Perbualan itu sedikit sebanyak telah mempengaruhi penglibatan saya dalam kerja sehingga ke hari ini daripada mula. Saya boleh kata itulah perbualan yang menjadi titik tolak hidup saya dalam kebanyakan hal. Pertemuan beberapa minit di hadapan Musolla itu adalah salah satu muntalaq hidup saya.
"Ilmu itu adalah amanah. dan amanah itu sangat berat. Kalau kita dah ada ilmu, kita perlu amal. Terutamanya ilmu fiqah, tauhid, tasawwuf, etc. Tapi ada satu ilmu yang kita tak perlu amalkan, iaitu ilmu ketamadunan islam. Tapi ia sangat penting untuk mengembalikan semula kegemilangan islam. Itulah kenapa aku berhenti sekolah agama dan berada di sini."
Melalui kata-katanya, saya tahu dia mempunyai ilmu dan kefahaman tentang Islam yang melangkaui usianya. Buktinya walaupun dia telah dinobatkan pelajar kedua terbaik SPM 2010 Maktab Tentera Diraja, akhirnya subjek ketamadunan islam yang dipilihnya menolak semua peluang dan tawaran untuk kerjaya yang lebih kritikal. Hal ini membuatkan saya rasa kagum dengan dia dalam diam.

Dia sangat dekat hadir dalam kehidupan saya. Malah saya selalu ceritakan tentang dia kepada orang-orang yang saya sangat rapat, cuma saya bahasakan dia sebagai 'sahabat' saja. Perasaan saya saat nama dia terlintas di minda;
"InshaAllah, dia ni lah yang akan menggegarkan Malaysia satu hari nanti."
Malah sengaja saya dahulukan hasrat kembara ke negara asing, di Turki. Selain ingin melihat bekas ibu kota sebuah empayar yang pernah menguasai dua pertiga dunia, saya amat teringin melawat dia. Khadafnya adalah untuk membina ukhuwah yang lebih praktikal dengan insan yang saya ramal akan menggegarkan Malaysia satu hari ini. Facebook telah menjadi penghubung lebih awal kami sebelum pertemuan empat mata di Turki. Perancangan jaulah ke Turki telah pun saya rangka setahun awalnya untuk memastikan kelancarannya. Namun, kita hanya mampu merancang, Allah lah yang menentukan. Selang beberapa minggu, saya menerima berita yang sangat sedih.
"Ya Allah, kenapa dia?!"
Perancangan dan harapan yang terbina, hancur. Ketetapan Allah telah berlaku di mana tanggal 2 November 2013, dia menemui ajal di bumi syahidnya ramai para syuhada'. Arwah telah dilanggar semasa melintas jalan. Namun, Allah adalah sebaik-baik Perancang. Mungkin itulah yang dikatakan Allah; orang syahid itu tidak mati (rujuk Surah Al-Imran 169), malah ia menghidupkan. Pendek kata, kematian yang menghidupkan. Dalam jangka masa yang singkat, nama Ahmad Ammar menjadi sebutan malah inspirasi buat majoriti pemuda yang rindukan kegemilangan Islam. Kisah-kisah hamasah dan aktivismanya dijadikan bahan bakar semangat generasi muda. Satu-satu didedahkan menurut perancanganNya persis kisah-kisah ulama dan mujahid yang popular hanya sesudah pemergian mereka. Bahkan, nama arwah tersohor di bumi Turki itu sendiri. Arwah dikebumikan di kawasan perkuburan makam sahabat Rasulullah, Abu Ayyub Ansari. Hingga ke hari ini (13 Febuari 2015) arwah Ahmad Ammar telah menjadi inspirasi dan idola generasi muda ini, malah berbuku-buku ditulis demi melahirkan lebih banyak Ahmad Ammar.
"InshaAllah, dia ni lah yang akan menggegarkan Malaysia satu hari nanti."
Allah itu sebaik-baik Perancang. Sungguh saya tak sangka harapan saya itu menjadi kenyataan dalam masa yang amat singkat, tak kurang sebulan pun. MashaAllah. Malah hasrat saya bertemu arwah di Turki, tetap menjadi kenyataan. Alhamdulillah saya sempat menziarah kubur arwah. Syahdu hati sepanjang perjalanan ke sana. Permergian yang disambut penduduk langit, ditangisi penduduk bumi. Rehatlah kau di sana. Moga rohmu tenang bersama orang-orang yang telah dijanji nikmat. Al-fatihah.


Mohammad Ubadah bin Zabidi
Volgograd, Russia
0235H 13022015