Tuesday, 19 August 2014

Jejak Turki part 1; Cappadocia | hari 1 dan 2

Jaulah menjejak Turki saya bermula di Cappadocia (sebutan: kapadokia). Pada asalnya saya taklah tahu pun apa tu Cappadocia. Melalui pembacaan di internet pun Cappadocia hanyalah tempat pembentukan batu-batu berbentuk aneh dan pernah didiami masyarakat purba. Namun setiap orang yang pernah ke Turki kebanyakannya paling menyarankan Cappadocia berbanding yang lain.

Tibanya saya di Turki pada 24 Jun 2014, juga hari yang sama saya bertolak ke Cappadocia. Bak kata orang nak dapatkan sesuatu yang beharga jalannya tak mudah. Jaulah saya ke Turki langsung tak menempah mana-mana hotel mahupun tiket bas kerana ketidaksempatan waktu, kecuali merancang tempat yang ingin dituju semata-mata. Dengan kepenatan yang terbawa daripada keserabutan Universiti dan Moscow, di Turki sendiri saya mengalami satu masalah.

Setibanya saya di Istanbul hari tersebut, saya membawa beg luggage seberat 30kg. Perkara pertama yang harus diselesaikan adalah di mana harus saya meletakkan beg tersebut kerana membawa beg 30kg berjalan jauh bukan pilihan yang bijak. Hasil pencarian di internet saya terjumpa satu perkhidmatan menyimpan beg di Istanbul yang terletak berdekatan dataran Taksim. Malah untuk ke Taksim sendiri saya sudah sesat, bila sudah tiba di Dataran Taksim, 2 jam saya mundar mandir mencari tempat untuk menyimpan beg luggage tersebut.

Namun bukan untuk menyalahkan sesiapa, sesatnya saya di sana semuanya berpunca daripadanya orang Turki itu sendiri! Atas dasar orang Turki lebih mengenali Turki itu sendiri lebih, saya memilih mempercayai mereka berbanding peta di tangan. Tapi kepercayaan itu adalah punca kesesatan saya. Sampai terdetik dalam hati saya ketika itu, peringatan buat diri, kalau tak tahu cakap je tak tahu, sebab kalau kita menyebarkan sesuatu yang salah, orang lain yang akan susah. Sisi baiknya ia merupakan taaruf orang Turki buat saya, membuktikan ura-ura yang orang Turki sangat ramah dan suka membantu.

Namun alhamdulillah semuanya masih tetap yang dirancang, saya sempat meletakkan beg dan membeli tiket bas yang terakhir, betul-betul 10 min sebelum bertolak ke Cappadocia. Untuk ke Cappadocia, saya menggunakan perkhidmatan overnight bus. Perjalanan mengambil masa 12 jam menggunakan bas Metro. Yang menariknya semua bas jarak jauh di Turki mempunyai makanan, televisyen dan wifi. Malah Turki menpunyai sistem 'on coach travel' antara yang terbaik di dunia. Malah di sana, mereka mempunyai mini bus shuttle yang akan menghantar kita betul-betul di hadapan pintu hotel.

Tapi yang menjadi masalah, saya belum menempah mana-mana hotel/hostel. Mujur saya mempunyai sehelai hard copy senarai hostel murah di Cappadocia jadi saya memilih yang paling hampir dengan center. Saya menetap di Cappadocia selama dua hari satu malam di dorm Kose Pension; sebuah villa yang dimiliki keluarga Afghanistan. Layanan dan suasana di sana cukup untuk memberikan ketenangan setelah 2 hari penat bergesa-gesa dari Volgograd ke sini. Di Cappadocia juga, menyedari betapa luasnya tempat ini dan sejarah yang terkandung, saya menyertai sebuah tour.

Cappadocia merupakan sebuah tempat peninggalan zaman purba, yang terletak di daerah Nevsehir, Turki. Asalnya ia didiami oleh bangsa Hittite, namun mereka tersepit antara empayar-empayar besar yang bermusuhan; pertama antara Empayar Greek dan Parsi, kemudian Byzantine, Rom dan lain-lain. Keadaan ini akhirnya memaksa mereka untuk membina terowong-terowong bawah tanah sedalam 80meter sebagai tempat persembunyian. Selain itu juga, Cappadocia juga menjadi tempat peninggalan masyarakat awal era Kristian yang lari ke sini lalu membina gereja-gereja serta artifak-artifak ritual agama Kristian. Kini Cappadocia hanya menjadi museum peninggalan orang dahulu dan dilindungi oleh UNESCO sebagai salah satu warisan dunia.

Selain kaya dengan sejarah, kejadian alam semula jadi di Cappadocia juga sangat menggagumkan. Lihatlah bentuk-bentuk batu, bukit dan gua di sini, semuanya adalah hasil kekuasan alam ciptaan Allah. Semuanya terjadi dengan sendiri! MashaAllah. Malah ibarat sebuah keajaiban di sana bagaimana sebuah tempat yang hanya berbatu-batu tapi mampu didiami sebuah masyarakat besar.

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula (maka hargailah nikmatNya dan takutilah kemurkaanNya). Al-Mulk; 15

Sunday, 17 August 2014

Travel

Pada mulanya saya taklah minat untuk travel (baca:mengembara). Pada saya mengembara ni ibarat membuang duit kerana ia memerlukan wang yang banyak terutamanya kos tiket kapal terbang dan hotel. Sedangkan kewangan keluarga saya sendiri tak stabil kerana kami terdiri daripada 14 orang, memerlukan wang yang banyak untuk keperluan dan untuk simpanan kecemasan atau masa hadapan. Saya lebih suka menyalurkan wang untuk sesuatu yang boleh kita lihat hasilnya buat jangka masa yang panjang, ataupun untuk sesuatu yang boleh melatih kemahiran hidup kita.

Namun pandangan saya terhadap kembara ni bertukar sama sekali. Selama tu saya hanya memandang kembara ni melalui kaca mata seorang pelancong. Mengembara bukanlah semata-mata pergi ke sebuah tempat asing untuk merasai makanan dan menghirup udaranya, bukan untuk mengambil gambar di sana kemudian ditag dan dipamerkan pada umum, bukan juga semata-mata untuk membeli belah pakaian atau suvenir. Mengembara ini kalau betul-betul dimanfaatkan, boleh jadi ia sebuah pembelajaran baik tentang diri, travelmate, budaya luar, dunia malah kehidupan. Cukuplah saya sebutkan salah satu wasilah tarbiyyah yang disebut IHAB adalah dengan mengembara.

Mengembara ini kalau dilihat dari sudut islam itu sendiri, adalah bermusafir. Betapa Allah muliakan orang yang bermusafir ni mereka akan dikurniakan dua macam kelebihan; mendapat salah salah satu doa yang mustajab dan kelayakan untuk menjadi asnaf zakat. Sampai macam itu Allah mengangkat martabat orang bermusafir yang penting niat dan cara baik. Jadi, amatlah rugi bagi orang-orang yang bermusafir hanya untuk melancong semata-mata. Maka untuk yang bermusafir tu, selain suvenir, doa juga adalah salah satu hadiah yang bernilai buat kita andai kita faham. InshaAllah.

Apa yang menjadi titik tolak mengubah pandangan peribadi saya tentang mengembara ini adalah daripada penulisan Ust Hasrizal mengenai kahwin muda, namun diselitkan tentang mengembara yang banyak disarankan oleh Allah melalui Quran itu sendiri. MashaAllah betapa besarnya mengembara ini sehingga berkali-kali disarankan di dalam al-Quran;
Surat An-Naml (27: 69) bermaksud: Katakanlah (Muhammad) "Berjalanlah kamu di muka bumi, lalu perhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa.
Juga dalam ayat-ayat berikut;
Surah Al An'am (6: 11)
Surah Ar-Rum (30: 42)
Surah Al-Hajj (22: 46)
Surah Al Mulk (67: 15)

Rusia part 1; info negara.

Bercakap tentang Rusia, pasti ada dua perkara yang memang semua tahu; negara terbesar di dunia dan negara pewaris utama soviet. Selain itu Rusia juga popular dengan musim sejuknya yang amat sejuk dan mempunyai kuasa veto. Malah saya sendiri pun sebelum ke Rusia tak banyak tahu menahu pun tentang negara ni selain daripada perkara-perkara tu dan kontroversi doktor graduan Rusia yang katanya tidak berkualiti hangat ketika tu.

Dengan wilayah seluas 17.075.400 km² juga, ia terbahagi kepada dua benua; asia dan eropah. Mengalami 4 musim sepanjang tahun. Kalau sejuk boleh mencecah sehingga -40 darjah celcius dan panasnya adalah panas kering. Malah Rusia sebenarnya adalah sebuah republik yang terdiri daripada banyak daerah dan 83 entiti yang berbeza namun saparuh daripadanya adalah Rusia itu sendiri. Populasi rakyatnya adalah 140juta orang pada 2012, negara ketujuh populasi paling ramai.

Lagi sedikit panduan ke Rusia adalah;

  • Matawangnya adalah Ruble; nilainya lebih kurang begini;
    MYR 1 = 10 Rubles
  • Waktu mereka adalah GMT +4
    (tambah 4 jam waktu Malaysia)

Saturday, 16 August 2014

Biasiswa part 2

Demi keluarga dan cita-cita, saya menerima tawaran tajaan untuk melanjutkan pelajaran ke Rusia meskipun tahu pelbagai kontrovesi dan sangkaan negatif buat graduasi-graduasi dari Rusia. Saya nekad, apa jua halangan akan saya tempuh. Maka bermulalah sebuah perjalanan yang hangat dengan kritikan.

Namun sepanjang perjalanan, bukan mudah untuk saya tetap berdiri teguh di atas jalan yang telah dipilih ini. Ada kalanya jatuh dan ada kalanya bangun semula. Kalau sepatutnya diberikan kata-kata semangat, yang saya dan rakan2 dapat kebanyakannya kata-kata kritikan. Malah dugaan muncul seawal pogram pendedahan lagi.

"Kalau ada yang akan ke Rusia tu, fikir-fikirlah ya."
"Dapat Rusia? tak payah lah. Balik nanti menyusahkan orang je."
"Negara komunis, bahaya tu"

Halangan-halangan yang kami terima hanya kerana kami mendapat tawaran ke Rusia. Hanya kerana Rusia adalah negara bekas Soviet. Hanya kerana ura-ura yang mengatakan doktor dari Rusia tidak berkualiti. Hanya kerana kononnya menghantar pelajar ke Rusia adalah satu pembaziran. Sampai satu tahap saya sendiri pernah rasa malu hanya semata-mata untuk mengaku dihantar ke Rusia. Sedangkan kami tiada diberi pilihan dan hanya ingin merealisasikan impian yang telah dipasang itu. Andai kata kami menolak pun, belum tentu ada peluang kedua lagi. Apa yang kami perlukan adalah kata-kata semangat dan sokongan, bukan kritikan.

Tapi di pogram persediaan, semua dugaan dipikul dan kritikan dikongsikan bersama. Batch saya sendiri terdiri daripada 41 orang. Di INTEC, kami adalah komuniti minoriti. Jadi kami sangat rapat. Meskipun setahun disitu, pelbagai cabaran suka dan duka telah kami lalui bersama. Paling ironi, bila sebulan sebelum terbang, kami dimaklumkan tajaan kami ke Rusia akan dipertimbang-balikkan. Waktu itu ada yang sedih menangis malah tak kurang juga yang gembira. Malah banyak lagi perkara yang tak perlu kot nak ceritakan di sini.

Suka saya sebutkan di sini, apa yang menyebabkan kami terus kuat di sini adalah sokongan daripada keluarga, pensyarah, senior malah sahabat yang lain. Malah ada senior yang sudah bekerja, meskipun sibuk dan letih tapi turun ke INTEC semata-mata untuk memberi semangat kepada kami. Ramai juga senior yang akhirnya telah melepasi HO dengan baik, malah ada yang menjadi HO terbaik di tempat masing-masing. Kalau mereka mampu, kenapa yang lain tidak? Kerana semua ini akhirnya terletak pada individu bukannya tempat.

Kalau di sekolah dulu orang boleh kata; bukan sekolah yang menentukan kejayaan seseorang tetapi murid itu sendiri. Maka bolehlah saya katakan; bukan universiti itu yang menentukan kejayaan seseorang tetapi pelajar itu sendiri. (Tapi kejayaan itu sendiri berbalik kepada ketentuan Allah jua.) Malah, ingin saya selitkan sepotong ayat; bapa kepada segala ayat motivasi;

Surah Al-Baqarah Ayat 216 :
“... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

Wednesday, 13 August 2014

pre-Turki part 1.

Ketika membuat kursus persediaan di INTEC, Shah Alam, seorang sahabat pernah berkata, "kalau mahu melihat bangsa yang sedang pesat membina ketamadunan, datang Turki". Secara tak langsung, saya telah memasang niat untuk ke sana. Apatah lagi saya adalah orang yang minat pada subjek sejarah. Turki yang terletak di tengah-tengah tiga benua; Barat, Asia dan Afrika semestinya mempunyai sejarah yang menarik, malah budaya dan tamadun yang hebat.

Sejak dari itu, saya mula peka pada Turki. Melalui Turki saya mengenali Sultan Muhammad Al-Fatih, seorang raja muda yang disebut dalam hadis nabi Muhammad saw sebagai sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Melalui Turki saya tahu sejarah kejatuhan sistem khalifah (tahun 1924) dan pengkhianatnya Mustapha At-tartuk serta punca-puncanya. Melalui Turki saya melihat fasa-fasa jatuh bangun parti-parti politik yang cuba mengislamkan semula Turki sekular. Dan banyak lagi yang Turki telah mengajar saya.

Apatah lagi perdana menteri Turki, Recep Tayyib Erdogan mempunyai ciri-ciri pemimpin islam dambaan seluruh umat islam atas muka bumi ini. Rakyatnya adalah rakyat yang percaya bahawa hanya islam yang mampu mengembalikan semula kegemilangan tamadun mereka satu ketika dahulu. Dari segi pelancongan pula, Turki digelar sebagai negara hospitaliti terbaik. Malah adalah negara ke2 ekonomi paling pesat selepas China. Turki adalah negara yang selalu terkehadapan mempertahankan hak-hak orang islam yang tertindas ketika kebanyakan pemimpin negara-negara Arab, negara islam dan dunia antarabangsa membisu terhadapnya..

Pendek cerita, keinginan saya untuk datang ke Turki membuak-buak. Lebih dramatis, saya sudah mula jatuh cinta pada Turki meski kaki belum jejak pun lagi.

Biasiswa part 1

Biasiswa, mendengar perkataan itu, apa yang terlintas di fikiran anda? Mungkin setiap orang mempunyai pendapat dan tanggapan yang berlainan. Bagi saya sendiri, biasiswa itu adalah mimpi setiap orang.

Malah saya sendiri yang selalu meletakkan keluarga sebagai yang utama, saya mahukan biasiswa untuk mengurangkan beban tanggungan ibu bapa saya. Namun dalam masa yang sama juga saya tak mahu berpisah jauh daripada keluarga jadi dalam negara pada saya adalah yang paling ideal. Kata-kata umi, supaya saya menjadi contoh buat ketujuh-tujuh adik saya yang lain akhirnya mendorong saya untuk mengisi borang biasiswa yang ke luar negara.

Semasa keputusan UPU keluar, saya diterima masuk ke Asasi Sains Hayat, PASUM, UM. Memang itu impian saya sejak sekolah rendah lagi. Saya sungguh gembira. Malah, dalam beberapa hari, saya bersama ibu bapa sendiri pergi ke UM kononya untuk mengambil aura tempat saya belajar tak lama lagi. Pada waktu ini saya langsung sudah tidak mengharap apa-apa daripada permohonan biasiswa ke luar negara.

Seminggu kemudian, keputusan permohonan biasiswa keluar. Tanpa meletakkan harapan yang tinggi, saya membuka laman web JPA untuk check keputusan. Melihat keputusan saya tergamam seketika. Berkali-kali saya check. Selepas kali ketiga barulah saya memaklumkan pada ibu bapa saya. Ciuman umi waktu tu masih segar di ingatan saya kini. Namun, yang lebih saya tergamam, saya akan dihantar ke Rusia!

Menuntut bidang perubatan di Rusia? Oh tidak. Memikirkan hangatnya isu doktor pelatih dari Rusia yang dikatakan teruk-teruk waktu itu (tahun 2011), jadi Rusia langsung tak terlintas dalam fikiran untuk memilih jalan mana yang harus pergi untuk menuju cita-cita, menjadi seorang doktor perubatan. Malah ketika pogram pendedahan perubatan di bawah protokol biasiswa perubatan JPA juga, pelbagai pandangan skeptik dan negatif dilontarkan kepada sekolah perubatan Rusia.

Namun itu semua langsung tidak mematahkan semangat saya untuk ke sana menuntut ilmu perubatan. Malah, saya lebih bersemangat.
assalamualaikum wbt.

tanpa berkias apa-apa, tujuan saya membuat blog ini semata-mata untuk menulis sebuah travelog yang akan dibukukan inshaAllah. Semua perancangan ini adalah idea dan permintaan abuya yang tak mampu saya menolak. Menulis itu bukanlah kebolehan apatah lagi 'logam' saya jadi maaf andai hambar dan serabut. Namun, Allah lah yang menentukan segala-galanya tapi kalau buruk maka ia adalah daripada kelemahan saya sendiri.

mohon doa kalian semua.
tajdid niat inshaAllah.