Sunday, 21 September 2014

Jelajah Turki Day 3 @ Cappadocia

Selesai bersarapan di Kose Pension tersebut, saya disambut oleh agensi Down Town Travel dengan sebuah van jam 9.30 pagi. Di dalamnya terdapat lagi 13 orang dari pelbagai negara. Mulanya saya agak kekok kerana keseorangan dan ini adalah pengalaman pertama saya menyertai group tour. Tapi setelah berbual-bual dengan mereka, terbit rasa selesa. Mereka sangat ceria dan peramah dengan cara dan ragam benua masing-masing. Rasa semangat untuk meneruskan tour dari jam 10.00 pagi ke 6.00 petang. Apatah lagi perjalanan kami melalui laluan hijau di mana tempat-tempat yang akan disinggahi kami terletak berjauhan antara satu sama lain menjadikan kawasan yang dijejaki sangat besar. Tour bermula di Gerome Panorama Point, iaitu sebuah kawasan tanah tinggi di mana kita boleh melihat seluruh bandar Gerome. Di sini kepada kami diperkenalkan pengiring tour kami, seorang turki yang sangat fasih berbahasa inggeris.




Di Gerome Panorama Point kami diberi penerangan tentang perjalanan harian kami. Selain itu, beliau menceritakan sejarah Cappadocia dan menerangkan bagaimana terbentuknya batu-batu pelbagai bentuk yang terjadi dengan sendirinya. Kemudian diberi masa 10 minit untuk mengambil gambar ataupun membeli cenderahati. Sambil mengambil gambar panorama Gerome saya berbual dengan seorang cina dari Singapura. Kemudian kami bergerak ke Underground City yang mengambil masa hampir sejam untuk sampai. Di sana kami diminta meninggalkan semua bag kerana akan menyusup ke terowong bawah tanah yang sempit. Malahan digalakkan memakai jaket atau sweater kerana suhu di dalam sana sejuk. Itulah salah satu keajaiban ciptaan Allah di sini, semua gua dan terowong bawah tanah, suhunya kekal 6 dajah celcius tak kira musim sejuk atau panas. Kelebihan itu digunakan masyarakat purba untuk menyimpan makanan dan tempat perlindungan musim sejuk yang melampau.


Selesai itu, kami ke Illara Valley. Tempat ini sangat popular untuk pendaki kerana tempatnya yang sangat cantik. Bukan sahaja dikelilingi batu bata cantik, tetapi kehijauan hutan dan sejuk sungai yang mengalir. Perjalanan mengambil masa 40 minit. Apabila sampai, kami memilih untuk makan tengahari dahulu mengisi perut yang kosong. Makan tengahari itu termasuk dalam pakej tour kami. Malah di restoran tersebut yang terletak di Ihlara Valley itu sendiri, kami diberi pilihan memilih menu istimewa sajian utama Turki. Saya memilih ikan trout bakar kerana ingin merasa masakan Turki versi ikan pula. Sedap. Minuman adalah sendiri bayar dan arak pengiring kami melarang beli untuk menghormati pendirian dia tentang arak.


Kemudian diteruskan dengan aktiviti mendaki ke Ihlara Valley. Checkpoint pertama adalah di sebuah pokok yang mempunyai keupayaan menyerap air sungai dan terus mengeluarkan melalui dahan sebagai titisan air. Apabila melalui dibawah seolah-olah hari sedang hujan renyai. Penyejuk untuk cuaca yang panas pada tengahari itu. Panjang denai tersebut adalah 20km, namun kami hanya melalui 3km, kemudian mendaki tangga ke tebing batu bata setinggi 50 meter kerana di sana terdapat gereja gua peninggalan masyarakat dahulu kala. Gereja gua tersebut dilihat seolah-olah sudah dicerobohi satu masa dahulu namun masih ada sedikit lukisan-lukisan dan ukiran di situ. Kini dijaga rapi oleh pengawal. Setelah perkongsian sejarah dan rehat-rehat di situ, kami berpatah balik ke van untuk destinasi yang seterusnya.





Selepas itu kami bergerak ke sebuah gereja purba yang dibina di dalam batu besar sebesar sebuah bukit, Selime Katedrali. Di sini kami diberi kelonggaran untuk bergerak dengan sendiri tanpa pengiring. Ada yang mendaki hingga atas, dan ada yang tunggu di bawah. Yang membezakan dua kumpulan ni sudah pasti umur masing-masing. Masa diberi adalah 40 minit kemudian semua diminta untuk berkumpul di tempat mula. Selesai di sini kami dibawa ke beberapa pusat penghasilan produk Turki; kedai makanan dan kuih tradisi Turki, pusat seni pembuatan barangan kemas dan batu beharga. Kami diberi peluang merasa setiap kuih tersebut dan melihat cara-cara penghasilan batu marmar berbentuk telur di sana. Tapi suka hatilah untuk beli ataupun sekadar mencuci mata.





Jam sudah pukul 7 menandakan tour kami sudah sampai ke penghujungnya. Maka kami pun dihantar ke penginapan masing-masing. Tamat hari ini bermakna tamatlah masa saya di Cappadocia. Terasa masih banyak perkara belum dibuat di sini. Dua hari memang terlalu singkat untuk menerokai Cappadocia kerana tempat ini sangat luas dan terdapat banyak tempat-tempat menarik. Destinasi seterusnya adalah Pamukkale. Tiket bas saya pula adalah pada jam 9 malam. Sampai ke dorm saya bergesa-gesa mempersiapkan diri kemudian check out. Sementara ada masa saya makan malam. Kemudian saya pergi ke tempat bas, di mana tiba-tiba saya terfikir untuk membeli suvenir. Jadi saya meminta tolong seorang lelaki asia untuk menjaga barang saya. Di situlah saya kenal Lincoln, dari Korea. Apabila kembali daripada membeli suvenir, kami berborak hingga membawa kepada pelawaan berjalan di Pamukkale nanti bersama-sama.

No comments:

Post a Comment