Tuesday, 4 November 2014

Jelajah Turki Day 7 @ Istanbul

Lengkap penerokaan di Ephesus maka tamatlah trip luar Istanbul saya. Maka bermula sebuah perjalanan yang menjadi khadaf utama jaulah Turki saya kali ini, untuk menjejakkan kaki ke tempat yang pernah menjadi saksi deruman dan semangat seorang pemuda berumur 21 tahun menakluk kota rebutan kuasa besar yang pertahanannya paling kukuh di dunia pada abad itu. Beliau lah Sultan Muhammad Al-Fatih, seorang yang disebut Rasulullah saw sebagai sebaik-baik raja dan tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Bukan itu sahaja, kisah bagaimana kehidupan muda beliau sangat memberi inspirasi dengan karisma kepimpinan dan strategi perang yang diiktiraf pakar strategi perang sebagai antara yang terbaik. Tentera-tentera beliau juga bukan calang-calang pejuang.

Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq, “…Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Perjalanan dari Ephesus ke Istanbul menaiki bas Metro mengambil masa 10 jam. Sepanjang perjalanan saya tidur dek kerana keletihan 6 hari berjalan tanpa henti. Lagi-lagi tu bas malam jadi memang tidur sepanjang masa. Ada la berhenti beberapa minit untuk mengambil angin. Sampai Istanbul jam 7 pagi dan dihantar dengan bas mini sapu ke Dataran Taksim. Di Dataran Taksim saya mengambil beg bagasi yang saya tinggalkan. Maka bermula semula cabaran menarik beg seberat 30kg tapi menuju ke Istanbul Lama. Destinasi ada, pengangkutan dah tahu macam mana. Kalau matlamat jelas, cara pun semampu badan maka yang tertinggal hanya usaha. Namun perkara yang tidak diingini berlaku. Beg bagasi saya pemegangnnya tercabut betul-betul selepas keluar daripada tram Metro. Maka tiada apa unjuran atau bonjolan yang boleh saya tarik. Ada kalanya saya terpaksa angkat bersilih ganti dengan hand luggage sebab tak mampu angkat dua-dua serentak. Mujur ada seorang rakyat Turki yang sudah lama memerhatikan sudi menelefon hotel yang saya tempah. Masalahnya saya tak tempah apa-apa hotel pun.



Jadi saya terpaksa pikul, letak, rehat, dan pikul, letak, rehat banyak kali meronda-ronda kawasan Gulhane itu untuk mencari hostel yang berpatutan dengan bajet. Dua buah beg pula tu dalam cuaca yang panas dan sedang berpuasa. Waktu-waktu camtu baru saya faham pentingnya bermusafir bersama orang lain seperti yang disarankan Rasulullah saw. Malangnya semua hostel penuh dan selepas 2 jam berpusing-pusing sekitar kawasan itu saya jumpa satu hostel yang kosong satu untuk 9 orang satu dorm. Alhamdulillah. Jam pada waktu itu lebih kurang pukul 1.30 petang. Oleh kerana keletihan yang teramat sangat saya berehat di dorm tersebut hingga asar. Seusai zohor saya bersiap untuk menunaikan solat asar di Masjid Biru. Oh ya daripada hostel yang saya menetap iaitu Second Home Hostel hanya mengambil masa 10 minit berjalan. Memandangkan hari pertama saya di Istanbul saya mengenakan baju melayu sebagai meraikan. Tapi ketika berjalan menuju ke sana, tiba-tiba ada seorang Turki yang sudah berumur mengajak saya berjalan-jalan di Gulhane Park. Untuk tidak mengecewakan hasratnya saya ikut dia dan solat di atas rumput di taman tersebut saja.

Sebenarnya tiada apa yang menarik untuk dikongsikan perbualan dengan pakcik tersebut kerana dia lebih banyak menceritakan kisah peribadi dia. Seolah-olah dia meluahkan segala rasa pada saya. Tapi itulah orang Turki sangat ramah seolah-olah sudah lama kenal kita. Kalaulah di negara lain orang buat macam tu mesti kita rasa ragu-ragu tapi Turki ni kekuatannya ada pada orangnya sendiri. Selepas saya berpisah dengan pakcik tu pun saya disapa oleh seorang wanita berumur 30-an yang merupakan arkeologi muda yang terlibat dalam usaha membina semula kota purba di Ephesus. Dia agak terkejut bila tahu saya berpuasa sebab katanya orang Turki kebanyakannya masih liberal dan tidak berpuasa. Antara alasan paling popular adalah panas dan siangnya lama. Namun disebalik tu mereka percaya hanya dengan Islam mampu mengembalikan kegemilangan negara mereka ketika zaman Turki Uthmaniyyah dahulu. Dalam apa-apa isupun orang Turki lah yang sering terkehadapan membela nasib umat-umat islam yang tertindas. Belum sebut lagi presiden mereka yang karismanya didamba seluruh muslim dunia, Recep Tayyib Erdogan.

Hari pertama di Istanbul saya habiskan masa untuk bersenang lenang merasai Ramadan di sana. Bersenang lenang di sini maksud saya tiada video dirakam dan tiada gambar diambil melainkan sedikit. Sebagai seorang yang sedang mengembara juga, seronok melihat tempat yang pelbagai bangsa berada di suatu kawasan. Kemudian ramai antara mereka yang muslim dan bangunan-bangunan sekeliling yang berkubah dan cantik. Ada kalanya saya diberi salam, malah disapa dan ditanya khabar. Ada juga terjumpa orang-orang Malaysia di situ tapi semuanya berkumpulan dan hanya sempat memberi senyuman. Rupa-rupanya mereka juga pelajar dan banyak dari Mesir. Ada yang sudah beberapa kali singgah di Istanbul dan ada yang pulang selepas graduasi dari luar negara bersama keluarga. Hampir maghrib saya bertafakkur di foyer Masjid Biru. Masjid Biru juga dikenali sebagai Masjid Sultan Ahmed dan dibina untuk melawan seni bina Aya Sofia yang terletak berhadapannya.









Di perkarangan Masjid Biru tersebut saya berkenalan dengan Milad dan Arif, saudara seaqidah berbangsa Afghanistan dan Pakistan tapi lahir dan membesar di London. Melihat saya keseorangan mereka menegur saya hanya dengan sekuntum senyuman kemudian sapaan salam. Bermula dari situ, kami bertiga bersama-sama solat berjemaah di Masjid Biru, kemudian iftar di restoran bersebelahan Masjid Ali Pasha. Satu malam sudah cukup memberi rasa sayang pada mereka sebagai saudara seaqidah. Kami bertukar-tukar email dan nombor telefon. Malah mereka menjemput saya datang ke London dan saya mengajak mereka datang ke Malaysia masing-masing untuk menjadi tuan rumah bagi negara asal masing-masing. Sampai sekarang kami masih berhubung.



No comments:

Post a Comment