Saturday, 16 August 2014

Biasiswa part 2

Demi keluarga dan cita-cita, saya menerima tawaran tajaan untuk melanjutkan pelajaran ke Rusia meskipun tahu pelbagai kontrovesi dan sangkaan negatif buat graduasi-graduasi dari Rusia. Saya nekad, apa jua halangan akan saya tempuh. Maka bermulalah sebuah perjalanan yang hangat dengan kritikan.

Namun sepanjang perjalanan, bukan mudah untuk saya tetap berdiri teguh di atas jalan yang telah dipilih ini. Ada kalanya jatuh dan ada kalanya bangun semula. Kalau sepatutnya diberikan kata-kata semangat, yang saya dan rakan2 dapat kebanyakannya kata-kata kritikan. Malah dugaan muncul seawal pogram pendedahan lagi.

"Kalau ada yang akan ke Rusia tu, fikir-fikirlah ya."
"Dapat Rusia? tak payah lah. Balik nanti menyusahkan orang je."
"Negara komunis, bahaya tu"

Halangan-halangan yang kami terima hanya kerana kami mendapat tawaran ke Rusia. Hanya kerana Rusia adalah negara bekas Soviet. Hanya kerana ura-ura yang mengatakan doktor dari Rusia tidak berkualiti. Hanya kerana kononnya menghantar pelajar ke Rusia adalah satu pembaziran. Sampai satu tahap saya sendiri pernah rasa malu hanya semata-mata untuk mengaku dihantar ke Rusia. Sedangkan kami tiada diberi pilihan dan hanya ingin merealisasikan impian yang telah dipasang itu. Andai kata kami menolak pun, belum tentu ada peluang kedua lagi. Apa yang kami perlukan adalah kata-kata semangat dan sokongan, bukan kritikan.

Tapi di pogram persediaan, semua dugaan dipikul dan kritikan dikongsikan bersama. Batch saya sendiri terdiri daripada 41 orang. Di INTEC, kami adalah komuniti minoriti. Jadi kami sangat rapat. Meskipun setahun disitu, pelbagai cabaran suka dan duka telah kami lalui bersama. Paling ironi, bila sebulan sebelum terbang, kami dimaklumkan tajaan kami ke Rusia akan dipertimbang-balikkan. Waktu itu ada yang sedih menangis malah tak kurang juga yang gembira. Malah banyak lagi perkara yang tak perlu kot nak ceritakan di sini.

Suka saya sebutkan di sini, apa yang menyebabkan kami terus kuat di sini adalah sokongan daripada keluarga, pensyarah, senior malah sahabat yang lain. Malah ada senior yang sudah bekerja, meskipun sibuk dan letih tapi turun ke INTEC semata-mata untuk memberi semangat kepada kami. Ramai juga senior yang akhirnya telah melepasi HO dengan baik, malah ada yang menjadi HO terbaik di tempat masing-masing. Kalau mereka mampu, kenapa yang lain tidak? Kerana semua ini akhirnya terletak pada individu bukannya tempat.

Kalau di sekolah dulu orang boleh kata; bukan sekolah yang menentukan kejayaan seseorang tetapi murid itu sendiri. Maka bolehlah saya katakan; bukan universiti itu yang menentukan kejayaan seseorang tetapi pelajar itu sendiri. (Tapi kejayaan itu sendiri berbalik kepada ketentuan Allah jua.) Malah, ingin saya selitkan sepotong ayat; bapa kepada segala ayat motivasi;

Surah Al-Baqarah Ayat 216 :
“... Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

No comments:

Post a Comment